1 College 1 Village | SECOND COLLEGE
» NEWS » 1 College 1 Village

1 College 1 Village

  Karnival Pembangunan Komuniti, Pendidikan dan Inovasi Sempena ‘Program 1 Kolej 1 Kampung @ Cakna Komuniti’ merupakan program tahunan bagi Kolej Kedua yang bertujuan mewujudkan kampung angkat bagi Kolej Kedua. Disamping itu, program ini juga membuka peluang penglibatan kepada kolegiat Kolej Kedua untuk mendampingi masyarakat melalui kegiatan khidmat kemasyarakatan, kekeluargaan, dan pendidikan selaras dengan pemantapan nilai dan etika.

  Program ini dianjurkan oleh Sekretariat Alumni dan Kerjaya, Majlis Tertinggi Mahasiswa Kolej Kedua 2016/2017, dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Kedua, dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia. Program 1 Kolej 1 Kampung @ Cakna Komuniti ini telah diadakan buat kali kedua di Felda Sungai Tengi Selatan, Kuala Kubu Bharu, Selangor dan program ini telah berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 5 hingga 7 Mei 2017.

  Seramai 66 orang kolegiat dan seorang felo pemantau Kolej Kedua menyertai program ini. Selain itu, program ini turut melibatkan penduduk Felda Sungai Tengi Selatan dan beberapa agensi kerajaan peringkat negeri dan persekutuan seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia Negeri Selangor (SPRM), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Negeri Selangor (AADK) dan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) dalam menjayakan program ini melalui aktiviti dan pengisian yang menarik sepanjang tiga hari berlangsung.

  Pelbagai aktiviti dan pengisian yang disediakan untuk peserta dan penduduk kampung sepanjang penganjuran program ini. Antara aktiviti yang dijalankan ialah mengoca ikan, sukaneka, zumba, gotong-royong, ziarah kasih,  program Iktiraf bersama FELDA dan santai bersama SPRM.  Aktiviti ini mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan antara kolegiat dan keluarga angkat serta mengekalkan keharmonian.

  Oleh itu, Program 1 Kolej 1 Kampung @ Cakna Komuniti ini memberi impak yang besar kepada kolegiat Kolej Kedua khususnya untuk mengeratkan hubungan disamping memberi peluang untuk mengenali budaya dan cara hidup mereka dan sekaligus berkongsi pengetahuan daripada kolegiat kepada penduduk Felda Sungai Tengi Selatan.

 

 

Updated:: 22/05/2017 [noradzhan]

MEDIA SHARING

SECOND COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
0389467358
0389467359
C1505964039